ts1

Takahiro Shiraishi – Pembunuh Kejam Yang Mengumpan Wanita Dengan Twitter

Kes pembunuhan 9 orang remaja Jepun oleh seorang pembunuh bersiri yang menggunakan media sosial bagi memancing mangsa, menggemparkan Jepun. Jepun pula sebuah negara yang sudah terkenal dengan kadar kes bunuh diri antara yang tertinggi di dunia.

Suspek, Takahiro Shiraishi yang digelarkan ‘Twitter Killer’ mengumpan mangsanya dengan menggunakan media sosial iaitu Twitter. Mangsanya semua mempunyai satu persamaan – mereka secara terbuka menyuarakan hasrat untuk mati dalam Twitter.

PEKERJAAN SEBAGAI TUKANG REKRUT PELACUR

Takahiro dikatakan seorang pelajar normal dan tidak banyak bercakap. Namun dia dan seorang lagi rakannya mempunyai hobi yang pelik : mereka gemar mencekik leher sesama sendiri sehingga salah seorang pengsan.

Selepas tamat persekolahan, Takahiro bekerja di pasaraya sebelum menjadi seorang tukang rekrut pelacur di kawasan Kabukicho, sarang pelacuran terbesar di Tokyo. Dia pernah ditangkap kerana cuba membawa gadis bawah umur menyertai pekerjaan sebagai pelacur.

Pada Jun 2017, Takahiro mula mempersoalkan mengapa dia ada di dunia ini pada ayahnya, lalu mengambil keputusan berpindah ke sebuah apartment satu bilik di daerah Zama, Tokyo. Apartmentnya itulah bakal menjadi markas kegiatan ganasnya.

Menggunakan akaun Twitter, Takahiro akan mencari mana-mana gadis yang menyatakan keinginan untuk mati dan menawarkan dirinya untuk mati bersama-sama. Helahnya berjaya meyakinkan mangsa dengan mengatakan dirinya faham apa yang mereka lalui dan dia pun sedang melalui perkara yang sama.

PANDAI BERKATA-KATA

Entah ilmu apa yang dipakai, Takahiro berjaya meyakinkan kesemua mangsanya yang memohon pertolongan daripada pihak keluarga, kawan dan media sosial hanya akan memburukkan keadaan, jadi Takahiro menjadi satu-satunya orang yang mereka percayai sebagai tempat bergantung.

Mangsa pertama Takahiro adalah seorang wanita berusia 23 tahun pengguna Twitter yang ingin dibantu membunuh diri dan Takahiro berjanji, yang teman lelakinya pun akan dibunuh bagi mengelakkan rahsia mereka terbongkar. Beberapa mangsa lain juga tertarik dengan tawaran Takahiro, lalu menghubungi Takahiro bagi mempunyai teman bunuh diri.

Kegiatan kejam Takahiro terbongkar selepas salah seorang ahli keluarga mangsa yang hilang, mendapat maklumat tentang Takahiro daripada seorang wanita yang pernah bertemu dengan Takahiro atas tawarannya. Dengan kerjasama wanita tersebut, pihak polis mengaturkan pertemuan mereka berdua dan berjaya menyerbu masuk ke dalam apartment Takahiro sebelum sebarang kejadian buruk berlaku.

PENEMUAN NGERI DI RUMAH

Selepas di soal siasat, Takahiro menunjukkan kepada pihak polis bekas penyejuk di mana dia menyimpan tubuh badan mangsa yang telah dibunuhnya. Bermula daripada 22 Ogos 2017, Takahiro menjadikan rumahnya bilik pembunuhan dengan seorang wanita dibunuh setiap satu minggu,.sebelum kegiatannya diketahui.

Pihak polis menjumpai 9 kepala wanita dengan kebanyakan anggota badan wanita tersebut telah dibuang ke dalam tong sampah. Mangsa semuanya dibunuh di dalam bilik air dan dipotong menggunakan sebuah gergaji tangan. Empat mangsa dikenal pasti berumur 17 tahun sementara selebihnya wanita berusia lebih 20-an. Hasil siasatan pihak polis, mereka berjaya mengumpul 240 bahagian badan termasuklah 9 kepala dan pelbagai anggota badan yang dikerat oleh Takahiro.

Kesan daripada kes ini, pada 11 November 2017, Twitter mengumumkan mereka akan menghalang sebarang bentuk twit yang mempromosikan kemahuan membunuh diri atau menyakitkan diri sendiri. Kerajaan Jepun pula dilaporkan akan memperketatkan regulasi mereka ke atas laman web serta akaun media sosial yang memaparkan mesej serupa.

MASALAH BUNUH DIRI KRONIK DI JEPUN

Jepun mempunyai kadar bunuh diri setinggi 20 ribu orang setahun. Walaupun kadar itu menurun selepas mencapai tahap tertinggi pada tahun 2003, jumlah individu muda dan pelajar sekolah yang membunuh diri semakin meningkat pula, dengan media sosial dijadikan sebab utama. 500 orang di bawah umur 20 tahun membunuh diri di Jepun setiap tahun dengan 1 daripada 4 individu mengakui ada keinginan membunuh diri.

Akiko Mura, seorang ahli Befrienders Worldwide Tokyo, sebuah NGO yang membantu menghalang kejadian bunuh diri, mengakui setiap malam panggilan telefon kepada mereka daripada individu yang ingin membunuh diri tidak putus-putus, dengan kesemua di antara mereka memerlukan seseorang untuk jadi pendengar kepada masalah mereka.

Akiko mengakui, kemungkinan besar itulah apa yang dapat ditawarkan oleh Twitter Killer, Takahiro Shiraishi kepada mangsanya yang membuatkan modus operandinya berjaya. Takahiro berjaya menawarkan dirinya untuk menjadi pendengar yang setia, membantu menanggung masalah hidup bersama-sama dan menjadi tempat luahan perasaan mereka yang mempunyai keinginan membunuh diri.

MENGAPA?

Takahiro ditangkap pada 31 Oktober 2017, baru beberapa minggu lepas. Apabila ditanya mengapa dia melakukan perbuatan kejam ke atas 9 orang wanita itu, jelaslah niat Takahiro amat berbeza dengan apa yang dia katakan pada mangsanya.

Dia mengakui kesemua mangsanya dibunuh kerana dia mahukan wang daripada mangsanya.

Ketika semua kejadian bunuh itu berlaku, Takahiro belum mempunyai sebarang pekerjaan bagi menampung kos sara hidupnya di bandar Tokyo. Bagi Takahiro, wanita-wanita dan remaja itu mahu membunuh diri, jadi apa salahnya dia membantu mereka memenuhi impian, meninggalkan dunia.

Rujukan:
-NDTV
-LA TImes