mas

Mas Idayu disayangi peminat di Indonesia

SEMAKIN aktif di Indonesia, penyanyi dangdut popular, Mas Idayu bagaimanapun tetap tidak melupakan tanah airnya sendiri.

“Mostly memang di Indonesia. Tapi ini negara mummy dan mummy sayangkannya.

“Tapi, secara tak langsung, mummy dah macam ada dua rumah pula. Alhamdulillah,” katanya dalam wawancara khas Live Facebook bersama Sinar Harian, hari ini.

Jelasnya, situasi itu berlaku disebabkan pembabitannya sebagai juri menerusi program realiti, D’Academy Asia, sejak beberapa tahun lalu.

Pada masa sama, penyanyi berusia 48 tahun ini turut memenuhi pelbagai tawaran sebagai artis jemputan di negara seberang.

“Bila dah ambil projek di sana, mummy tak boleh tarik kerana terikat dengan kontrak.

“Cuma cara bekerja di sana agak perit dan pedih kerana setiap hari bekerja,” katanya yang turut mempunyai single terbaru di Indonesia, Nafsu, ciptaan Caca Handika.

Bukan itu sahaja, kehadiran pelantun lagu Robek Hatiku ini turut disenangi masyarakat di sana sehingga tertubuhnya kelab peminat, 1001 Indo Fan Club.

“Mummy bersyukur apabila ada peminat yang sangat-sangat sayang dan faham mummy.

“Mereka siap hantar dan jemput mummy di airport.

“Kalau dapat hadiah tu, memang tinggilah cukai yang mummy kena bayar. Ada yang siap masakkan untuk mummy. Macam-macamlah.

“Tapi… itulah kasih sayang korang pada mummy. Alhamdulillah,” katanya.

Bagaimanapun, pelantun lagu Cintaku 100% ini tetap akan kembali ke tanah air kerana kerjaya nyanyiannya yang berjalan seperti biasa.

Bahkan, penyanyi lagu Selangit ini masih lagi menerima undangan mengadakan persembahan.

“Mummy masih tetap laku di sini. Lagipun, di sinilah mummy mulakan karier saya.

“Bukan mummy merajuk, tapi mummy ada cara sendiri untuk terus maintain dalam industri.

“Bezanya, cara kerja di sini, biasanya mummy buat show seminggu dua kali, kemudian ada break,” katanya.