ifA RAZIAH

Ifa Raziah minta letak syarat mohon maaf

SEMENJAK seminggu lalu, dunia hiburan tanah air kecoh dengan kontroversi yang melibatkan penyanyi dan juga pengacara, Ifa Raziah dengan seorang selebriti yang juga merupakan sahabat baiknya sebelum ini.

Selepas masing-masing berbalas kenyataan di media sosial, Ifa hari ini tampil membuat penjelasan berkaitan isu ini di Facebook Live Sinar Harian dengan menceritakan apa sebenarnya yang terjadi di antara mereka.

Tidak sekadar itu, Ifa juga memberitahu dia telah pun mendapatkan nasihat daripada peguam untuk mengambil tindakan terhadap isu yang yang telah mencetuskan kontroversi ini sehingga menjatuhkan reputasinya sebagai seorang artis, isteri dan ibu.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan peguam dan selepas program ini kami akan berjumpa untuk memutuskan apakah tindakan yang bakal diambil berkaitan isu ini.

“Insya-ALLAH Jumaat ini saya akan mengadakan mengadakan satu sidang media untuk menjelaskan tentang tindakan yang bakal diambil berserta dengan surat daripada peguam tentang kes ini,” tegasnya.

Mengulas tentang permohonan maaf yang dibuat selebriti terbabit menerusi status yang dimuatnaik di laman media hari ini, ini reaksi Ifa.

“Bagi saya, itu bukan cara minta maaf yang betul dan sepatutnya. Dia dah aibkan saya satu dunia, takkan semudahkan itu dia nak tutup cerita.

“Saya takkan menerima cara permohonan maaf yang begitu, melainkan dia datang berjumpa dengan saya dan membawa beberapa orang saksi yang berkaitan untuk meminta maaf di atas segala perbuatan yang dia lakukan kepada saya.

“Bukan hanya kepada saya, tetapi juga kepada suami dan anak saya yang turut dia heret dalam pertelingkahan yang berlaku antara kami sehingga anak-anak berada dalam keadaan trauma.

“Jika dia memenuhi syarat-syarat itu, barulah saya akan mempertimbangkan permohonan maafnya itu,” jelas Ifa.

Tambah Ifa lagi, walaupun dia sangat kesal dengan apa yang berlaku, namun sebagai manusia dia tidak akan menolak permohonan maaf daripada seseorang yang telah sedar akan kesilapannya.

“Saya juga manusia biasa. Kalau orang sudah datang meminta maaf dan mahu memperbetulkan kesilapannya, saya sedia mempertimbangkannya.

“Semoga hati saya terbuka untuk menerima permohonan maaf itu walaupun jauh di sudut hati tidak dapat melupakan apa yang telah dia lakukan ini,” luah Ifa kesal.

Beberapa hari lalu penyanyi, pelakon dan pengacara, Ifa Raziah telah memuat naik beberapa status yang mengundang tanda tanya pengikutnya di laman sosial berhubung rasa tidak puas hatinya terhadap seseorang yang dipercayai juga merupakan seorang selebriti.

Tanpa menyebut nama atau memberi gambaran yang lebih jelas, Ifa beberapa kali meluahkan rasa kesal dengan apa yang berlaku di antara dia dan selebriti terbabit menerusi ayat-ayat yang berbaur sindiran di laman Facebook miliknya.

Bagaimanapun petang semalam, pengikut Ifa di laman Facebook dan Instagram miliknya dikejutkan dengan luahan rasa panjang lebar daripada penyanyi ini yang mejelaskan tentang apa yang berlaku dan selebriti yang dimaksudkan dalam status sebelum ini.

Menamakan selebriti tersebut dengan panggilan RS, Ifa cuba menjawab beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh selebriti tersebut menerusi FB Live yang didakwa sebagai tidak benar dan cuba menjatuhkan dirinya.

“Semua yang berlaku tercetus susulan kes sumpah laknat SA, yang juga akibat perbuatan RS. Saya begitu terkilan dengan perbuatan RS yang suka melaga-lagakan rakan artis, memaki hamun dan mengata orang terutama artis-artis, dengan nama-nama yang menjengkilkan. Saya sendiri pernah digelarkan Artis Propa dan Artis Plastik beberapa kali oleh RS.

“Bagaimanapun saya tidak pernah menyimpan dendam dengannya kerana secara realitinya dengan RS, kita kena tahan bergurau kasar. Itulah perangai sebenar dia dan kita sebagai kawan harus menerima watak RS. Tanyalah sesiapa sahaja yang pernah rapat dengan RS, mereka tentu akan setuju dengan saya.

“Kembali kepada kes SA-RS tadi, Apa pun Saya tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan oleh RS. Dia langsung tidak mengaku bersalah dan berbangga dengan perbuatannya di live facebook. Jadi saya telah komen beberapa ayat di facebook kak SA dan mengelar RS ‘Bapuk Tua’.

“Saya ‘tidak sebut nama dia’, namun susulan kenyataan saya itu, dia telah mula membuat video live dengan menghentam saya. Pada mulanya saya hanya berdiam diri, tetapi apabila saya tidak respons pada kata-kata caciannya, dia mula mengugut untuk mendedahkan kisah silam saya,” jelas Ifa menerusi sebuah status panjang di laman Facebooknya semalam.

Difahamkan Ifa dan dan selebriti terbabit sebelum ini merupakan sahabat baik yang telah saling mengenali lebih 20 tahun.

Namun apa yang lebih dikesalkan Ifa, selebriti terbabit dikatakan bukan hanya melemparkan fitnah kepadanya sahaja, tetapi turut mengeluarkan kata-kata yang negatif terhadap anak lelakinya.

“Sebenarnya apa yang dikatakan oleh RS kebanyakkannya adalah fitnah. Saya tidak terkesan pun, cuma saya pelik memikirkan apa motif RS untuk membuka kisah-kisah lama sebelum saya kenal dengan suami saya.

“Suami saya kenal RS sejak dia mula ingin menapak di Malaysia. RS pula mengenali anak-anak saya, kakak sejak umur dua tahun dan anak kedua, Aqili sejak dilahirkan lagi. Tergamak dia mengatakan ‘Aqili pun dah macam pondan aku tengok’, dan ‘aku doakan Aqili jadi pondan bila besar nanti’.

“Itulah kata-kata yang lebih berbisa dari tuduhan yang dilemparkan pada saya. Aqili dan kakak sangat terkilan dan sangat sedih dengan tindakan RS yang mereka kenal dan hormat sejak lahir.”

Bagaimana kata Ifa, tindakan selebriti tersebut sedikit pun tidak menggoncang rumah tangganya dan suami, malah mereka sekeluarga menjadi lebih rapat dalam menghadapi segala dugaan dan kata-kata yang dilemparkan oleh RS.