adline s

Akibat Bayaran Tak Setimpal Punca Adeline Tsen Jarang Berlakon

PELAKON Adeline Tsen memberitahu wajahnya kini jarang menghiasi drama di televisyen bukan disebabkan sudah tiada tawaran berlakon.

Sebaliknya kata Adeline, perkara itu terjadi kerana dia sendiri menolak tawaran diberikan kerana bayaran diberikan tidak setimpal dengan pengalamannya sebagai pelakon.

“Saya bukannya bersikap ‘demand’ tetapi sebagai seorang pelakon yang sudah berpengalaman saya berpandangan bayaran ditawarkan tidak setimpal.

“Jadi kebanyakan tawaran yang diberikan saya tolak kerana tidak berbaloi dengan usaha bakal saya berikan.

“Tetapi saya masih bersyukur kerana tawaran masih ada dan ada juga tawaran yang saya terima cuma tidak banyak,”

Bagaimanapun kata Adeline, itu tidak bererti dia tidak lagi berminat untuk berlakon cuma sedikit terkilan dengan situasi industri yang tidak berubah terhadap pelakon berpengalaman sepertinya.

“Tahun ini saya ingin fokus kepada watak yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton dan bukannya lagi kuantiti drama yang saya lakonkan,” katanya.

Dalam pada itu, Adeline berkata, selain berlakon dia kini lebih banyak menumpukan kepada tawaran undangan menghadiri majlis hiburan dan pelancaran produk.

Katanya, dia lebih selesa menerima tawaran sebegitu kerana ia tidak mengambil masa lama selain bayaran diberikan lumayan.

“Memang saya lebih banyak terima undangan menghadiri majlis kerana bayarannya lebih lumayan berbanding berlakon.

“Masa diambil juga tidak lama jadi saya boleh buat beberapa perkara dalam satu hari yang sama,” jelasnya.